mcmc
Sejarah

Sejarah

SEJARAH DAERAH

Jajahan Machang mendapat nama daripada sebuah kampung iaitu Kampung Machang. Ia mula dibuka pada tahun 1880 oleh sekumpulan penduduk kampung dari Pasir Tumboh di Kota Bharu yang diketuai oleh En.Senik. Pada awal pembukaan kampung ini, aktiviti utama yang dijalankan oleh penduduk untuk menyara kehidupan mereka ialah pertanian dan perniagaan.

Dari segi geografinya, kedudukan jajahan Machang terletak ditengah-tengah negeri Kelantan Darul Naim. Jajahan Machang ini bersempadan dengan Kota Bharu dari sebelah utara, sebelah selatan jajahan Kuala Krai, sebelah barat bagi jajahan Tanah Merah, manakala bagi jajahan Pasir Puteh pula di sebelah timur.
Pada awal penubuhannya iaitu sekitar tahun 1949, jajahan Machang telah dijadikan jajahan kecil. Namun, pada 1 Januari 1952 disebabkan kepesatan dalam pembangunan dan kegiatan ekonomi di jajahan Machang ia telah dijadikan jajahan sepenuhnya.

Jajahan Machang mempunyai keluasan 546.26 kilometer persegi. Daripada jumlah keluasan tersebut sebanyak 129 kilometer persegi adalah terletak di dalam Majlis Daerah Machang.

SEJARAH PANYIT

Mengikut cerita orang-orang tua, pada suatu masa dahulu terdapat satu rombongan pengantin yang berarak untuk ke majlis perkahwinan. Rombongan tersebut perlu melalui kawasan sawah yang berlumpur/berselut yang terletak di Kampung Pek untuk sampai ke tempat majlis perkahwinan. Sewaktu melalui kawasan yang berlumpur tersebut, satu peristiwa terjadi iaitu pulut semangat yang dibawa terjatuh dan terbenam di dalam lumpur.

Rombongan tadi terkejut dan menjerit “pakat penyet (terpijak) pulut semangat” (dalam intonasi dan dialek Kelantan) yang membawa maksud ramai-ramai memijak/terpijak pulut semangat. Suasana bertukar menjadi riuh-rendah kerana mereka menjerit perkataan “penyet..penyet..penyet!”

Lama-kelamaan tempat peristiwa itu berlaku dipanggil Penyet. Apabila ada orang yg hendak datang ke tempat berlakunya peristiwa tadi, maka disebut “itu lah…nak ke penyet”. Cerita ini tersebar ke merata-rata tempat seluruh Kelantan dan dikenali ramai oleh penduduk pada zaman itu. Orang yang datang dari utara juga akan menyebut “nak ke penyet..”. Lama-kelamaan, perkataan penyet bertukar kepada Panyit.

Hari ini Panyit merupakan nama pada sebuah sungai yang mengalir dari Kampung Che Wa ke Kampung Pangkal Pulai, terus ke Sungai Sat dan muaranya di Sungai Kelantan yang terletak di Kampung Kuala Sat (Kelaweh).

Sumber: Cerita ini hasil temubual Penggawa dengan beberapa orang-orang tua kawasan Panyit.

**Gaya bahasa dan olahan ayat diubah oleh petugas NADI Panyit.